CERITA PENDEK: HALUSINASI

       Jendela kamar ditolak perlahan. Nana memandang ke luar dan menghulurkan tangan kanannya. Titis-titis air hujan mula membasahi telapak tangannya yang putih kemerah-merahan. Beberapa saat Nana membiarkan tangannya dibasahi air hujan. Perlahan-lahan dia mulai tersenyum. Sedikit demi sedikit kedinginan pagi subuh yang diiringi hujan renyai itu mulai mengisi kekosongan jiwanya.

        Tok..tok..

        Ketukan di pintu bilik mematikan senyuman Nana. Kacau je lah.

     “Ya? Masuklah,” Nana meninggikan sedikit suaranya. Pintu biliknya terbuka ketika dia sedang mengelap tangannya di tuala kecil yang tersangkut di ampaian tuala. Terjegul wajah Papa di sebalik pintu. “Ada apa, Pa?”

Papa. Seorang doktor pakar mata yang bergraduan luar negara. Lembut bicaranya namun setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya sentiasa mempunyai makna. Sepanjang hidup Nana, jarang sekali dia mendengar papanya berbual kosong.

“Nana dah solat subuh?” tanya Papa.

Nana senyum dan mengangguk. Papa turut tersenyum. “Bagus anak papa. Kalau dah siap, turunlah sarapan. Mama dah siapkan nasi goreng kesukaan Nana tu.”

Nana hanya menjawab, “Okey.”

Sebaik sahaja pintu biliknya tertutup rapat, senyuman di bibir mungil Nana mati. Satu keluhan dihembus.

***

Nana menarik kerusi yang paling hujung di meja makan dan duduk. Papa dan Mama sedang bersiap-siap ke tempat kerja di tingkat atas. Nana mencapai satu pinggan kosong dan mencedok sesenduk nasi goreng ke dalamnya. Kemudian, Nana menuang segelas air masak ke dalam gelas kosong.

Nana menyuap sesudu nasi goreng ke dalam mulut. Sedap. Nana menyuap sesudu lagi. Kenyang lah. Nana mencapai gelas air masak tadi lalu minum. Tetapi separuh sahaja yang lalu di tekaknya.

“Nana di dapur rupanya. Tengah makan ya?” Tiba-tiba sahaja Mama ada di dapur. Hampir gugur jantung Nana dibuatnya. Soalan Mama dibiarkan berlalu tanpa jawapan. Nana bangun menuju ke sinki dengan pinggan dan gelas yang masih berisi.

        Mama bersuara lagi, “Kenapa makan tak habis? Tak sedap ke? Pagi-pagi kena sarapan. Barulah ada tenaga nak belajar. Barulah senang ilmu nak masuk. Makanlah lagi.”

           Mama. Seorang akauntan graduan universiti tempatan. Orangnya peramah, sangat berlawanan dengan sifat anak perempuannya. Sebagai seorang ibu, Mama sangat suka membebel. Tidak kira masa dan tempat. Sungguhpun bergelar wanita bekerjaya, Mama sentiasa meluangkan masa untuk mengemas rumah. Mama juga jarang membeli makan luar. Pendek kata, perfectionist.

            “Kenyanglah, Mama,” Nana menjawab malas.

           “Kenyang? Makan apa tadi boleh kenyang sampai tak habis nasi goreng tu? Air masak pun tak habis tu,” Mama tidak mahu mengalah.

         Belum sempat Nana menjawab lagi, Papa muncul di dapur. “Alah, biarlah dia. Nanti kalau dia lapar, pandailah dia beli di kantin. Waktu rehat kan ada,” kata Papa kepada Mama.

         “Ikut suka hatilah. Mama cakap je.” Mama dan Papa mula menjamu nasi goreng buatan Mama. Nana pula di sinki, membasuh pinggan dan gelas yang digunakannya tadi. Satu keluhan dihembus.

***

            “Belajar elok-elok. SPM tahun ni. Dengar cakap cikgu. Jangan nakal-nakal.”

         Itulah pesan Papa dan Mama kepada anak tunggal mereka setiap pagi ketika menghantarnya ke sekolah. Nana pula, sebagai anak, hanya mengangguk dan mengiakan sahaja arahan papa dan mamanya. Bukannya dia boleh kata ‘tidak mahu’ sebagai jawapan. Silap hari bulan, Papa dan Mama akan beri ceramah pagi di dalam kereta.

        Di sekolah, Nana tidak punya sahabat. Hanya kenalan. Diri sendiri pun dia tidak percaya, lagilah untuk memberi kepercayaan kepada orang lain. Nana lebih selesa bersendirian daripada bercampur gaul dengan orang lain. Mungkin sebab inilah dia tidak punya sahabat.

Nana menuju ke kelas 5 Sains, satu-satunya kelas untuk pelajar yang mengambil subjek sains tulen di sekolahnya. Lima lagi kelas lain ialah untuk pelajar aliran sastera.

     Boleh dikatakan Nana ialah salah seorang pelajar pandai di sekolahnya. Sudahlah berada di kelas aliran sains, dia juga tidak pernah terkeluar daripada senarai top ten antara pelajar di dalam kelasnya sendiri. Ramai kenalan-kenalannya selalu meminta Nana untuk mengajar subjek-subjek yang mereka lemah.

     “Hai, Nana,” tegur salah seorang classmatenya yang duduk berdekatan dengan pintu masuk kelas. Nana senyum lalu membalas, “Hai.”

      Nana terus ke tempat duduknya. Paling hujung sekali di belakang kelas. Selalunya tidak ada pelajar yang mahu duduk di situ tetapi Nana dengan rela hati memilih tempat tersebut. Tenang katanya.

            Persekolahan pada hari itu berlalu seperti biasa. Memandangkan hari itu hari Jumaat, sekolah berakhir pada jam 12 tengahari. Apa yang berbeza mungkin hanyalah kata-kata penutup oleh guru subjek terakhir hari itu.

         “Ingat semua! SPM lagi dua minggu sahaja. Minggu depan dah tak ada kelas. Awak semua belajar sendiri sahaja di dalam kelas. Jangan tak hadir ke sekolah pula ya. Cikgu-cikgu akan tetap masuk kelas. Sebarang pertanyaan, awak tanya pada cikgu tersebut. Faham semua?”

          “Faham, cikgu,” serentak jawapan pelajar kelas 5 Sains.

           Satu lagi keluhan dihembus.

***

     Seminggu sebelum SPM. Minggu yang paling sibuk untuk pelajar-pelajar Tingkatan 5. Termasuklah Nana.

      Seminggu itu, hidup Nana hanyalah belajar, belajar dan belajar. Pagi di sekolah, petang dan malam di rumah atau di pusat tuisyen.

           Sejujurnya Nana tidak mahu belajar di pusat tuisyen. Dia tidak boleh fokus jika belajar beramai-ramai.

         “Kalau pergi tuisyen, ada cikgu nak tengok Nana belajar. Mama dan Papa sibuk dengan kerja, tak boleh nak tolong Nana belajar,” kata Papa.

        “Baguslah pergi tuisyen. Boleh belajar dengan kawan-kawan. Senang nak bincang kalau ada soalan yang susah nak jawab,” kata Mama.

            Pendapat Papa dan Mama tidak sama langsung dengan pendapat Nana.  Bukannya dia tidak boleh whatsapp mana-mana kenalan dia untuk berbincang. Lagipun, dia tidak kenal sesiapa di pusat tuisyennya itu. Disebabkan itu, Nana sememangnya lebih suka belajar bersendirian di rumah. Lebih selesa dan lebih fokus.

            Tapi tak sampai hatilah nak cakap pada Papa dan Mama. Penat-penat dia orang daftarkan di pusat tuisyen dan bayarkan yuran tuisyen, takkan tak pergi?

***

     Permohonan kemasukan ke universiti awam (UPU) sudah dihantar. Minggu peperiksaan SPM sudah hampir seminggu tamat. Nana mempunyai banyak masa lapang sementara menunggu keputusan permohonannya diumumkan. Lebih kurang 6 bulan.

          Nana berasa bosan dan kosong. Seminggu pertama selepas habis SPM terasa seperti sudah sebulan lamanya dia terperap di rumah. Papa dan Mama pula sentiasa di office, tak pun outstation. Sibuk memanjang.

       Rutin hidup Nana semenjak habis sekolah ialah bangun pagi, basuh baju, kemas rumah, makan, menonton televisyen, baca novel dan tidur. Kadang-kadang dia biarkan sahaja rumah bersepah. Nanti petang sedikit sebelum Papa dan Mama balik barulah dia akan kemas.

          Entertainment yang ada di rumah untuk Nana hanyalah televisyen dan novel. Kalau setiap hari asyik menonton rancangan yang sama, memang bosanlah.

       Smartphone? Ada. Papa membelikan iPhone X sempena hari lahirnya yang ketujuh belas. Tetapi Nana tidak biasa menggunakan mana-mana media sosial zaman sekarang. Al-maklumlah, iPhone X itu ialah telefon bimbit pertamanya seumur hidup.

Terkejut?

            Papa dan Mama memang sengaja tidak membelikan apa-apa gajet untuk Nana selama ini. Apa-apa gajet sekalipun. Alasan mereka cliche.

            “Nana belajar lagi. Handphone tak perlu pun.”

***

            Satu petang, Nana memilih untuk keluar rumah dan beriadah. Dia berbasikal sekeliling taman perumahannya. Cuaca hari itu tidak panas, tetapi tidak pula hujan. Angin bertiup lembut menerbangkan rambut Nana yang hitam berkilat. Hari yang sempurna untuk Nana beriadah.

        Kawasan kejiranan Nana sangat harmoni. Jiran-jiran saling bertegur sapa. Anak-anak kecil akan bermain bersama di taman permainan. Sungguh indah pemandangannya. Nana terasa bahagia sementara.

       Sedang Nana mengayuh basikal, tiba-tiba dua ekor kucing yang saling mengejar melintas betul-betul di hadapan Nana.

            Skreeeeettt!!

            Nana brek mengejut, menyebabkan dia terjatuh dari basikal. Aduh, sakitnya.

            Kucing dua ekor tadi sudah lama hilang dari pandangan. Tinggal Nana dan basikalnya sahaja. Nana terasa pedih di lutut. Seluarnya kelihatan koyak sedikit di bahagian itu. Perlahan-lahan Nana selak seluarnya dari bawah ke atas. “Pedihnya,” Nana bercakap seorang diri.

            Kedua-dua belah lututnya terluka. Darah dan pasir bercampur di situ. Nana cuba untuk menepis sedikit pasir dari lututnya. “Aduh, pedihnya,” Nana bercakap seorang diri lagi.

       Tiba-tiba dia terasa pedih di bahagian siku pula. Dia pusingkan sedikit lengannya dan warna merah darah terang mewarnai kulit lengannya yang putih melepak itu. Kali ini dia tidak cuba menepis apa-apa.

          Seluruh badannya terasa berbisa walaupun hakikatnya yang terluka cumalah lutut dan siku. Nana cuba untuk berdiri tetapi dia terjatuh semula. Matanya berpinar-pinar. Dadanya terasa mual. Nana tidak boleh tengok darah sebenarnya.

     Tiba-tiba Nana terasa badannya seperti terbang melayang. Nana mengerdipkan matanya beberapa kali untuk menjelaskan lagi pandangannya.
Namun ia tetap kabur.

            Nana katup matanya rapat-rapat dan buka. Terpampang dihadapannya wajah seorang lelaki yang amat kacak. Matanya agak sepet, hidungnya mancung, bibirnya sedikit tebal dan rambutnya pendek tetapi menutup dahi. Ala-ala kpop gitu.

Berkerut dahi Nana. Dia memandang ke kiri dan kanan. Dia dukung aku ke ni? Dia nak bawa aku ke mana ni?

“Encik, encik buat apa ni?” soal Nana memandang tepat ke mata lelaki itu. Tetapi soalan Nana tidak dijawabnya.

     “Baik encik turunkan saya sekarang. Kalau tak, saya jerit!” Nana mula meninggikan nada suaranya.

         Lelaki itu diam sahaja, masih lagi mendukung Nana sambil berjalan. Dia ni memang tak faham bahasa lah!

Nana baru sahaja membuka mulutnya untuk menjerit apabila lelaki itu menurunkan Nana di sebuah kerusi. Nana tutup kembali mulutnya.

“Awak tunggu sini. Saya pergi ambil basikal awak sekejap.” Lelaki itu berlari-lari anak menuju ke tempat dia jatuh tadi. Nana pandang sahaja lelaki itu berlalu pergi.

Dia pusing kiri dan kanan. Rupanya lelaki tadi membawanya ke taman permainan. Tidak lama selepas itu, lelaki tadi kembali dengan basikal Nana. Dituntun perlahan basikal itu.

“Nah, ni basikal awak.” Dia menyandarkan basikal itu di belakang kerusi batu tempat Nana sedang duduk. Setelah itu dia pergi ke hadapan Nana dan meletakkan sebelah lututnya di tanah sambil berkata, “Mari saya check kaki awak.”

Belum sempat Nana menjawab apa-apa, lelaki itu sudah memegang kaki Nana lalu menyelak sedikit seluarnya. Nana jadi kaku. Pertama kali seorang lelaki berbuat seperti itu padanya. Ya, pertama kali. Papa pun tidak pernah kerana Papa terlalu sibuk bekerja dan tidak ada masa bermain dengannya.

Lelaki tadi mendongakkan kepalanya dan tersenyum.

Handsomenya dia ni. Tapi kenapa aku tak pernah nampak dia sebelum ni? Nana, mestilah kau tak pernah nampak dia. Kau bukannya keluar rumah pun. Nama jiran sebelah rumah kau pun kau tak tahu. Lagilah dia ni.

“Awak luka sikit je ni. Tak serius pun,” ucap lelaki itu sambil tersenyum riang. Matanya membentuk bulan sabit. Comel.

“Kenapa awak nampak gembira sangat ni?” tanya Nana pada lelaki itu. Pelik. Dia terjatuh dan terluka tetapi lelaki itu boleh pula senyum lebih-lebih.

“Sebab saya teringat waktu awak terjatuh tadi. Comel sangat. Macam anak kecil.”

Jantung Nana berdegup laju.

***

Antara sedar dan tidak, cuti Nana sudah hampir habis. Hari ini ialah hari pengumuman keputusan permohonan UPU. Pelajar-pelajar boleh mulai menyemak keputusan mulai jam 12 tengahari secara atas talian.

Maka, tepat sahaja jam di dinding menunjukkan jam 12, Nana terus ke portal hebahan keputusan melalui iPhonenya. Dia memasukkan nombor kad pengenalan dan angka giliran SPMnya. Butang ‘masuk’ ditekan.

Beberapa saat berlalu dan skrin lain terpapar.

‘Tahniah. Anda ditawarkan tempat untuk mengikuti program di UiTM. Program pengajian yang ditawarkan kepada anda ialah Asasi Undang-Undang.’

Skrin tersebut discreenshot lalu dihantar kepada Papa, Mama dan Hyun (sebutan: Hiyeon). Lelaki di taman permainan.

Nana senyum sendirian.

Mungkin kerana dia berjaya ditawarkan program pengajian yang memang diimpikannya selama ini.

Mungkin juga kerana Hyun membalas whatsappnya.

‘Tahniah girl.’

***

Pada malam hari keputusan UPU, Papa dan Mama pulang awal. Nana yang sedang menonton televisyen di ruang tamu terus mengalihkan perhatiannya kepada kedua orang tuanya.

“Awal Papa dan Mama balik hari ini. Selalunya dah nak dekat pukul 8 baru sampai rumah. Ni baru pukul 6.”

Papa dan Mama duduk di sofa berhadapan Nana. Masing-masing bersandar melepaskan letih perjalanan pulang tadi.

“Papa nak tanya sikit. Macam mana Nana boleh dapat Asasi Law pula ni? Dulu kan belajar bidang sains. Takkan boleh lari sejauh tu?” Papa tiba-tiba bersuara.

“Tak susah ke nanti? Kan tak ada basic. Tak boleh minta tukar program pengajian yang lain ke?” Mama pula bersuara.

“Ataupun Nana nak Papa minta tolong kawan Papa? Minta dia tukarkan program pengajian kepada yang lain?”

“Mama pun ada kawan juga di sana. Mungkin dia boleh tolong sekali.”

Kedua-dua Papa dan Mama memandang Nana, menunggu respon darinya. Namun Nana tetap diam. Dia memandang kosong lantai di bawah kakinya. Bukan termenung. Nana cuma tidak tahu mahu berfikir apa. Apatah lagi mahu berkata apa.

“Papa tahu Nana sedih sebab tak dapat apa yang Nana mahukan. Sebab tu Papa cadangkan kita minta tolong kawan papa atau kawan mama. Kita minta tolong mereka dapatkan program pengajian yang berkaitan sains untuk Nana. Papa tak suka tengok anak papa sedih macam ni,” ujar Papa setelah melihat anaknya diam tidak berkutik.

Nana mengangkat kepalanya. Papa dan Mama dipandang silih berganti. Nana tak sedih pun. Ini memang pilihan Nana.

Satu keluhan dihembus.

***

Sudah hampir sebulan Nana bergelar pelajar asasi UiTM Selangor Kampus Dengkil yang lebih gemar dipanggil Dengkil sahaja oleh para pelajarnya. Dengkil tidak jauh dari rumah Nana memandangkan rumahnya itu berada di Putrajaya. Hampir setiap hujung minggu Nana akan pulang ke rumah. Kadang-kadang Papa atau Mama yang menjemputnya. Kadang-kadang dia balik sendiri menaiki Uber atau Grabcar. Tetapi selalunya Hyun yang mengambil Nana di kampus menaiki keretanya.

Di Dengkil, Nana mengikuti program pengajian Asasi Sains. Eh, bukankah hari tu keputusan kata dapat Asasi Law?

“Papa dan Mama minta tolong kawan dia orang tukarkan ke Asasi Sains. Nana ikut je lah. Dia orang terlebih dulu makan garam. Dia orang lagi tahu mana yang terbaik.” Ini jawapan Nana.

Adakah Nana gembira dengan life sekarang?

Satu keluhan dihembus.

***

Taman permainan. Sebelum ini, Nana tidak pernah gemar untuk melepak di tempat itu pada waktu petang. Nana tidak suka berada di tempat yang ada ramai orang. Dia berasa tidak selesa dengan pandangan mata mereka terhadap dirinya.

Pertemuannya dengan Hyun mula merubah dirinya sedikit demi sedikit. Setiap petang hujung minggu, Nana akan meluangkan masa dengan Hyun di taman permainan kawasan perumahannya itu. Walaupun masih ada lagi anak-anak kecil atau orang dewasa di situ yang akan memandang ke arahnya dan Hyun lalu berbisik-bisik, Nana mula mengendahkan mereka.

Siapa sangka Nana sudah mula berubah. Sebelum ini, keluar rumah pun jarang sekali. Apatah lagi melepak dengan orang lain di tempat awam. Apabila ditanya tentang perubahan ini, senang sahaja jawapan Nana.

“I feel happy.”

Petang itu, Hyun membawa gitarnya bersama ke taman permainan. Mereka berdua duduk di kerusi batu yang dahulu itu.

“Saya tak tahu pula yang awak tahu bermain gitar,” kata Nana.

“Awak tak tanya saya pun,” balas Hyun sambil mengenyit mata.

Hish..dia ni. Main kenyit-kenyit mata pulak. Tersuka nanti baru tahu.

“Saya sedang buat satu lagu. Tapi belum siap sepenuhnya. Awak nak dengar tak?” tanya Hyun.

Nana sedikit terkejut. “Awak buat lagu? Seriuslah?”

Hyun tergelak sedikit. “Kenapa? Awak tak percaya? Sini saya mainkan lagu tu.”

When you’re in love, be honest
When you’re in love, give it your all
Being happy is a sign that I love you

Lunak merdu suara Hyun mengisi gegendang telinga Nana. Tanpa disedari Nana tersenyum sepanjang Hyun menyanyikan lagunya.

“Macam mana? Okey tak? Sedap tak saya nyanyi?” usik Hyun sambil tersenyum-senyum.

Nana mengangguk.

“Sepanjang saya buat lagu ni, saya asyik teringat pada awak saja. Agak-agak awak kenapa ya?”

Nana tergelak. Hyun hanya memandang sambil senyum.

“Awak ni pandai buat lawak lah. Kelakar gila awak ni,” ujar Nana sambil menghabiskan sisa tawanya dan mengesat sedikit air matanya yang terkeluar akibat ketawa tadi.

Hyun menggelengkan kepalanya. Dia masih lagi senyum sambil memandang Nana.

“Saya tak buat lawak pun.”

Gelak Nana mati. Jantungnya berdegup laju.

***

Hari demi hari berlalu sebagai seorang pelajar sains di Dengkil. Sudah menjadi adat pelajaran; semakin tinggi peringkat belajar, semakin susah pelajarannya. Maka lebih ramailah pelajar yang akan menghadapi stres. Termasuklah Nana.

Bagi Nana, dua tahun sebagai pelajar sains di sekolah menengah sudah cukup stres. Namun hakikat ini dirahsiakan daripada pengetahuan Papa dan Mama. Permohonan UPU juga dilakukan sendirian tanpa ada perbincangan dengan mereka berdua.

Oleh sebab stres, Nana memang sengaja memohon untuk ke program pengajian selain daripada sains. Sewaktu proses permohonan UPU, pilihan selain sains yang dia ada hanyalah undang-undang, TESL dan seni lukis. Tetapi Nana tidak tahu melukis. Jadi Nana letakkan undang-undang sebagai pilihan pertama. Manakala TESL pula Nana letakkan di nombor dua. Dengan keputusan SPMnya yang baik iaitu 7A2B, Nana yakin sekali salah satu daripada dua itu pasti ‘sangkut’.

Ternyata Tuhan memakbulkan doa hati kecil Nana. Dia cukup bahagia sekali kerana dia akhirnya diberi peluang untuk keluar daripada kelompok sains. Sekaligus memberi peluang kepadanya untuk belajar sesuatu yang baru.

Malangnya kini Nana kembali menjadi salah seorang ahli sains. Semuanya kerana Nana tidak mahu melawan walaupun sedikit kata-kata orang tuanya. Dia tidak mahu menyakiti hati Papa dan Mama. 

“Duit untuk sara pengajian aku kan duit Papa dan Mama. Dia orang berhak nak masuk campur.”

“Berkat Papa dan Mama lah yang akan menjamin kejayaan aku. Sebab tu lah aku tak boleh lawan cakap Papa dan Mama.”

“Alah, dulu kan dah ambil sains. Senang lah belajar nanti. Boleh lah nak jaga cgpa. Kalau cgpa tinggi, mesti Papa dan Mama lagi suka.”

“Takpe. Asasi je. Mesti senang lah. Nanti degree ada peluang nak ambil course lain.”

Dua atau tiga bulan pertama Nana di Dengkil, hampir setiap hari Nana memaksa diri untuk berfikiran positif dengan kehidupan. Tidak pernah sekali pun diluahkan rasa tidak puas hatinya kepada sesiapa. Dia gagahkan diri untuk ke kelas dan makmal. Dia selesaikan semua lab reports tanpa sebarang rungutan.

Namun hakikatnya, manusia itu tidak sempurna. Semakin hari, semakin susah untuk dia positif dengan kehidupan. Stresnya bertambah-tambah sehingga Nana kini perlu berulang alik dari kelas ke bilik kaunseling.

Sesungguhnya Nana menyesal yang teramat kerana tidak berlaku jujur sahaja pada Papa dan Mama. Stres.

***

Malam itu, Nana tiada homework atau assignment untuk dibuat. Semuanya sudah siap. Nana tidak suka bertangguh kerja.

Nana berada di dalam biliknya di Kolej Kediaman Dengkil. Dia berguling-guling di atas katil sambil mendengar rakaman-rakaman lagu Hyun. Tenang rasanya dengar suara dia.

Selama ini, Hyun banyak menghantar lagu-lagu yang ditulisnya sendiri kepada Nana. Semestinya melalui whatsapp. Senang.

Nana teringat kembali pertemuan keduanya dengan Hyun. Waktu itu, Nana masih lagi bercuti. Dia sengaja keluar rumah pada suatu petang dengan alasan untuk beriadah. Sebenarnya dia berharap dapat ketemu dengan Hyun.

Nana menuju ke taman permainan dan dia ternampak Hyun berada di kerusi batu yang itu. Hyun kelihatannya sedang menulis sesuatu di dalam buku nota kecilnya. Nana teragak-agak untuk menegur Hyun. Betul ke apa yang aku sedang buat ni?

“Awak,” panggil Hyun. “Marilah ke sini.”

Terkejut Nana dibuatnya. Dia ingatkan Hyun tidak perasan akan kehadirannya. Nana menarik satu nafas lalu menghembuskannya. Dia pun menuju ke sebelah Hyun lalu duduk di kerusi batu itu.

“Awak tak berbasikal pula hari ni?” soal Hyun sambil senyum pada Nana.

“Assalamualaikum,” perli Nana.

Hyun menggaru-garu kepalanya sambil tersenyum. Lalu dia berkata, “Sebenarnya saya non-Muslim. Saya bukan orang sini pun.”

“Oh ya ke?” Nana menjadi malu. Dia jawab sendiri salamnya tadi di dalam hati. Waalaikumussalam.

Nana memandang Hyun lalu bertanya, “Habis tu, awak orang mana?”

Hyun menjawab, “Annyeong (Hello).”

Nana terlopong. Seriuslah mamat ni orang Korea? Macam tak boleh percaya je dia ni. Tapi muka tu adalah Koreanya. Nana tahu maksud perkataan yang diucapkan Hyun tadi kerana dia banyak menonton drama Korea. Sedikit sebanyak Nana sudah hafal perkataan-perkataan atau ayat dalam bahasa Korea.

“Awak tak pernah jumpa orang Korea ke?” soal Hyun.

Laju Nana menggeleng. “Bukan setakat tak pernah jumpa orang Korea. Saya pun tak pernah jumpa orang Korea yang fasih berbahasa Melayu macam awak ni. Betul ke awak orang Korea?”

Hyun mengangguk. Nana mula mengecilkan matanya, tanda dia meragui kebenaran kata-kata Hyun.

“Nan Hyun-iya. Neoneun? (Nama saya Hyun. Kamu pula siapa?)”

Terkebil-kebil mata Nana mendengar ucapan bahasa Korea Hyun. Bukannya dia tidak faham. Dia masih lagi tidak boleh percaya yang lelaki di sebelahnya itu bukan rakyat Malaysia. Terlalu fasih pertuturannya.

Hyun senyum lebar. “Awak tak faham kan saya cakap apa tadi?” Seronok Hyun mengusik Nana.

Nana mencebik, “Fahamlah.”

Hyun terus-terusan mengusik Nana. Seronok mungkin.

“Kalau awak faham, cuba awak jawab dalam bahasa Korea juga.”

Nana membesarkan sedikit matanya lalu memandang Hyun tepat pada matanya. Lalu dia berkata, “Awak cabar saya ya? Okey, saya jawab. Kalau betul, awak nak bagi saya apa?”

Hyun membalas pandangan mata Nana. Dia senyum.

“Saya bagi awak kebahagiaan.”

Terkedu Nana mendengar jawapan Hyun. Padahal Nana sudah siap sediakan jawapannya tadi. Otaknya jadi kosong sekejap.

Apa maksud dia dengan kebahagiaan?

Hyun memetik jarinya di hadapan muka Nana. Barulah Nana kembali ke alam realiti. Nana berdehem sedikit.

“Naneun Nana rago hae (Awak boleh panggil saya Nana).”

Bermula dari detik itulah, Nana menjadi semakin rapat dengan Hyun. Setiap masa yang Nana luangkan bersama Hyun terasa amat berharga sekali.

Berharga kerana aku rasa bahagia.

Hyun benar-benar menepati janjinya untuk membahagiakan Nana.

***
            Hujung minggu itu, seperti biasa Nana pulang ke rumah. Selesai bersarapan, Nana menuju ke ruang tamu. Papa dan Mama sedang menonton channel Astro kegemaran mereka, AXN. Nana duduk di sofa berhadapan orang tuanya, ingin menonton bersama.

            Menyedari kehadiran anak mereka, Papa dan Mama saling berpandangan antara satu sama lain. Seolah-olah ada sesuatu yang ingin mereka sampaikan pada Nana. Namun tiada seorang pun dari mereka berdua yang bersuara.

         Nana yang ingin menonton televisyen terganggu. Pandangan mata Papa dan Mama terasa ‘bingit’ sekali. Kalau macam ni, memang tak boleh fokus tengok tv.

      “Kenapa Papa dengan Mama pandang-pandang je? Ada apa?” Nana memulakan perbualan memandangkan Papa dan Mama sibuk berlawan mata. Penat dan malas mahu tunggu.

       Serentak Papa dan Mama mengalihkan pandangan mereka pada Nana. Untuk seketika hanya televisyen yang rancak bersuara. Mereka bertiga senyap tanpa kata.

          Papa gelak hambar lalu berkata, “Tak ada apa pun sebenarnya. Cuma Papa dan Mama nak tanya sikitlah. Selama ni, kalau Nana ada di rumah, waktu petang Nana ke mana?”

            Nana jawab sepatah, “Taman.”

        Papa dan Mama terangguk-angguk. Nana dapat rasakan ada benda lain yang mereka ingin katakan. Cuma Nana tidak pasti mengapa mereka tidak berterus-terang sahaja.

            “Nana pergi taman dengan siapa?” tanya Mama sambil tersenyum sedikit.
           
            Lah..dia orang berdua ni nak tanya pasal Hyun ke? Kenapalah tak cakap je dari awal? Kan senang.

           Nana senyum lebar. Fikir tentang Hyun sahaja pun cukup membuatkan Nana rasa bahagia. Nana menjawab, “Nana pergi seorang lah. Tapi dekat taman, Nana lepak dengan Hyun.”

            “Hyun? Siapa Hyun tu?” tanya Mama.

          “Dia orang Korea. Dia duduk di rumah yang paling hujung sebaris dengan kita ni. Tapi dia dah lama di Malaysia. Sebab tu dia fasih cakap Melayu. Dia buat lagu sendiri tau, Mama. Lirik pun dia tulis sendiri. Sedap dia nyanyi. Nana ada lagu-lagu dia dalam phone. Mama dengan Papa nak dengar tak?”

Panjang lebar Nana bercerita tentang Hyun. Bahagia sangat agaknya masa-masa yang diluangkan dengan lelaki Korea itu. Sampaikan lagu-lagu Hyun mahu dimainkan di hadapan kedua orang tuanya.

Mama mencelah, “Rumah hujung? Bukan ke rumah tu..”

Mama tidak sempat menghabiskan bicaranya apabila Papa mencelah semula, “Hmm..tak apa lah. Lain kali Papa dengar. Tadi Nana kata dia orang Korea dan dah lama menetap di sini kan? Macam mana dengan keluarga dia pula?” Papa nampak seperti berminat dengan teman baru anak daranya itu.

Nana dengan lancarnya menjawab, “Family dia di Korea. Hyun jarang balik ke sana. Sibuk katanya. Tapi dia selalu video call dengan family dia.”

Mama pula bertanya, “Dia international student ke?”

Nana menggeleng. “Dia bukan pelajar lagi. Dia dah kerja.”

Mama lontar lagi pertanyaan, “Kerja apa?”

Papa dengan Mama ni betul-betul berminat ke dengan Hyun tu? Tapi jumpa pun tak pernah lagi, macam mana nak minat? Dia orang tak marah pula tu aku berkawan dengan lelaki. Dia orang tak takut ke apa-apa terjadi pada aku? Eh? Buat apa nak takut pun. Hyun bukannya orang jahat.

“Kan Nana dah beritahu tadi. Dia buat lagu,” jawab Nana.

Papa berdehem lalu berkata, “Nana, Papa dan Mama tak kisah Nana nak berkawan. Lelaki atau perempuan, kami tak kisah. Lagi ramai kawan lagi bagus.” Lembut bicara Papa.

Nana senyum sedikit. Papa macam nak bagi restu je ni.

“Tapi Papa tak setuju kamu berkawan dengan budak lelaki Korea tu.”

Sekelip mata senyum di bibir Nana lenyap. Nana pandang kedua-dua orang tuanya silih berganti. Nana bertanya, “Tapi kenapa? Apa salah dia?”

Papa menyatukan jari jemarinya dan bersandar ke depan sambil berkata, “Nana dengarlah cakap Papa ni, please.”

Nani mengerutkan dahinya lalu menggelengkan kepalanya. “At least, you should give me your reasons,” tutur Nana perlahan.

Mama meninggikan suaranya, “Kalau Mama dan Papa kata jangan, maksudnya janganlah. Kenapa susah sangat nak dengar kata ni? Siapa yang ajar jadi degil sangat ni?”

Nana pandang sayu pada Mama dan berkata, “Ma, Nana tak ada niat nak buat Mama marah. Nana cuma nak tahu kenapa, tu pun salah ke, Ma?”

Mama tinggikan lagi desibel suaranya, “Dah pandai melawan pula sekarang ni. Jangan sampai Mama ambil handphone kamu ya. Sekali Mama ambil, Mama takkan bagi balik. Nana faham tak?”

Papa pegang tangan Mama, memberi isyarat agar Mama memperlahankan sedikit suaranya.

Mama tidak puas hati. “Tapi Abang..”

Belum sempat habis bicara Mama, Papa pintas dan berkata, “Sudahlah tu. Nana ni bukannya budak kecil yang perlu kita marah-marah. Kita cakap elok-elok kan boleh.”

Mama sepertinya masih lagi tidak puas hati tetapi Mama diamkan sahaja. Nana pula sudah tunduk merenung lantai di bawah tapak kakinya.

Papa menyambung bicara, “Nana, Papa tak mahu paksa Nana. Cuma Papa minta Nana fikir sedalam-dalamnya tentang persahabatan kamu dengan Hyun tu. Kalau boleh, Papa nak kamu jauhkan diri dari dia. Kalau Nana sayang pada Papa dan Mama, Nana dengarlah cakap kami ya.”

Nana pandang Papa dan Mama. Dalam tetapi kosong.

Papa dan Mama pula saling berpandangan. Dalam dan bermakna.

***

Nana sedang bertungkus lumus menyiapkan assignment. Rakan-rakan sebiliknya yang lain pun begitu. Keadaan rumah senyap sunyi tanpa sebarang bicara. Hanya bunyi kipas, selakan kertas dan keyboard sahaja yang kedengaran.

Lama keadaan menyepi. Nana semakin fokus dengan tugasan yang diberikan. Tiba-tiba dia rasa mahu ke tandas. Serta merta dia bangkit dari kerusi dan menuju ke arah bilik air. Agak lama juga dia di sana.

Sekeluarnya Nana dari tandas, dia lantas kembali ke meja belajarnya. Skrin telefonnya dilihat menyala. ‘Missed call (1)’.

Nana bertanya kepada rakan di sebelah meja belajarnya, “Dah lama ke phone aku bunyi tadi?”

Hampir kesemua rakan-rakan sebiliknya memandang ke arahnya, padahal dia cuma bertanya pada seorang sahaja.

“Err..aku tak ada dengar bunyi pun,” jawab rakan meja sebelah.

Nana mengerutkan dahinya. Dia berkata, “Ada missed call ni. Tu yang aku tanya. Takpelah. Kau orang ni khusyuk sangat ni buat kerja. Sampaikan benda lain pun tak dengar.”

Nana ketawa kecil lalu berlalu masuk ke bilik tidurnya. Dia mahu telefon semula si pemanggil tadi. Rakan-rakannya pula saling berpandangan antara satu sama lain. Kebingungan.

Nana dail semula nombor pemanggil itu.

Tut..tut..

“Hai, awak.” Ceria betul suara orang yang menjawab panggilannya.

Nana senyum lebar.

“Amboi, lajunya angkat telefon. Tunggu ya?”

Kedengaran bunyi tawa kecil dari sebelah sana.

“Mestilah. Tadi saya call awak tak angkat. Awak pergi mana? Busy ya?”

“Saya pergi tandas sekejap tadi. Sorry lah.”

“Oh. Saya ingatkan awak dah malas nak layan saya.”

Nana gelak kecil.

“Tak ada lah. Bukan macam tu. By the way, kenapa awak telefon saya, Hyun?”

“Hmm..awak busy tak malam ni?”

“Saya tengah buat assignment sebenarnya. Tapi tak apa. Deadline lama lagi. Awak nak cakap apa, cakaplah.”

“Saya tak ganggu awak belajar ke?”

“Tak. Cakap je lah. Ada apa?”

Hyun menarik nafas dalam lalu dihembus.

“Besok hari Jumaat. Saya ambil awak balik ya?”

“Awak nak cakap ni je ke? Kelakar lah awak ni,” ucap Nana lalu ketawa kecil.

“Saya belum habis cakap lagi.”

“Okey, sorry.”

“Besok malam saya nak bawa awak ke satu tempat special. Awak ikut saya ya?”

Perlahan-lahan sebuah senyuman terukir di bibir Nana.

“Tempat special? Di mana tu?”

“Kalau saya beritahu, nanti dia jadi tak special lah. Awak ikut je saya malam esok ya.”

“Okey.”

“Okey.”

Malam itu Nana tidur dengan nyenyak sekali.

***

Nana memandang sekeliling. Tempat itu tidaklah terlalu besar ataupun terlalu kecil. Ramai orang, tapi tak crowded. Mereka semua duduk berkumpul di meja masing-masing. Ada yang berbual-bual, ada yang menonton persembahan di hadapan. Di atas meja, kelihatan air minuman berwarna hitam dan sedikit berbuih. Coke? Ada meja yang ada makanan, ada yang kosong.

Jauh sedikit di kiri Nana ada sebuah bar counter. Ada seorang lelaki yang berpakaian agak segak. Sekali pandang, Nana tahu dia ialah seorang bartender. Kemeja putih, suspender kelabu cair dan tali leher sama warna. Ketinggian bar counter menghalang Nana daripada melihat seluar dan kasut lelaki itu.

Selang dua meja di hadapan Nana, ada satu pentas sederhana besar. Kelihatan sekumpulan lelaki sedang membuat persembahan. Seorang sedang menyanyi, seorang lagi bermain gitar. Seronoknya kalau dapat menyanyi atas pentas.

Nana pusing ke kanannya lalu berkata, “Hyun, awak bawa saya ke tempat apa ni?”

Hyun yang tadinya sedang bermain handphone mengalihkan pandangannya pada Nana. “Saya buat kerja part-time di sini. Awak jangan risau. Tempat ni tak hidangkan alkohol. Semua halal di sini,” kata Hyun.

Nana mengecilkan matanya lalu bertanya pada Hyun, “Boleh percaya ke? Tempat ni nampak macam bar. Kalau kantoi dengan Papa dan Mama, matilah saya.” Nana kelihatan sedikit risau.

Hyun senyum dan mendekatkan sedikit mukanya ke muka Nana, “Awak tak perlu risau. Tempat ni dijamin halal. Kalau awak tak percaya, awak boleh tanya semua orang yang ada di sini malam ni.”

Jantung Nana berdegup laju. Encik Jantung! Kawal diri sikit! Susah nak bernafas lah. Fuhh..fuhh..

Nana berdehem lalu berkata, “Awak buat kerja apa di sini?”

Hyun tersengih-sengih lalu mengusik Nana, “Awak rasa saya buat kerja apa?”

Nana diam sebentar. “Lah..awak jadi waiter ke? Tapi pakaian awak tak kena lah. Nampak handsome sangat untuk seorang waiter,” ujar Nana.

Dia pun memandang Hyun dari atas ke bawah. Rambutnya disikat rapi ke tepi, menampakkan dahinya yang luas. Kemeja-T berwarna merah burgundy dipandankan dengan jaket dan seluar denim hitam serta kasut berwarna coklat. Terlebih handsome lah pulak mamat ni malam ni.

“Awak kata saya waiter? Tak patut betullah awak ni,” Hyun buat-buat merajuk. Dia memusingkan badannya membelakangkan Nana.

“Janganlah marah. Manalah saya tahu kerja awak. Awak tak pernah beritahu pun yang awak kerja di sini,” Nana membela dirinya.

“Kalau ya pun, berpada-padalah. Penat saya dandan diri, awak kata saya nak jadi waiter? Cis!” Hyun masih lagi berpura-pura merajuk.

Nana tergelak kecil. Hyun memusingkan badannya ke arah Nana.

“Boleh gelak pula dia ni. Hish..tak puas hati betul lah,” kata Hyun sambil menjegilkan anak matanya.

Nana menghabiskan sisa tawanya sambil berkata, “Alahai, awak beritahu sajalah awak kerja apa. Macam budak kecil lah awak ni.”

Hyun mencebik lalu berkata, “Saya tahu saya comel macam budak kecil.”

Tawa Nana terburai lagi. Kali ini lebih kuat. Hyun tidak mampu menahan tawanya melihat Nana. Dia pun turut tertawa.

“Awak ni memang pandai buat lawak, awak tahu tak?” kata Nana sambil ketawa.

“Awak tu yang mudah terhibur. Lawak saya tak adalah kelakar mana,” ujar Hyun di hujung-hujung sisa tawanya.

Nana menarik nafas dalam dan hembus. Sekali lagi dan hembus.

“Okey, cukup lah tu. Kita nak buat apa di sini sebenarnya?” tanya Nana pada Hyun setelah dia tenangkan sedikit dirinya.

Hyun menuding jari telunjuk kanannya ke arah pentas sambil berkata, “Kita tengok performance dia orang dulu, okey?”

Nana hanya mengangguk. Lelaki di atas pentas itu menyanyikan lagu I’m Yours yang asalnya didendangkan oleh Jason Mraz. Selesai lagu itu, dia teruskan lagi persembahan dengan Lucky. Mungkin dia peminat Jason Mraz.

Habis sahaja nyanyian lelaki itu, semua orang menepuk tangan. Ada yang berwisel lagi. Nana dan Hyun turut menepuk tangan bersama mereka.

Tiba-tiba Hyun berdiri dan berjalan ke arah ‘peminat’ Jason Mraz itu. Hyun menyalami lelaki tersebut. Penyanyi itu pula menepuk belakang bahu Hyun. Kenal ke? Tapi tak mustahillah kalau mereka saling mengenali. Hyun pun kerja di sini juga. Nana terangguk-angguk.

Hyun dilihat menaiki pentas dan mencapai mikrofon yang digunakan oleh penyanyi tadi. Nana jadi terpinga-pinga. Dia buat apa naik atas pentas tu?

“Baiklah semua. Persembahan pada malam ini akan diteruskan lagi oleh saya. Untuk pengetahuan anda semua, bersama dengan kita di sini pada malam ini ialah seseorang yang sangat istimewa bagi saya. Selama ini, saya rasakan hidup seorang diri sudah memadai untuk saya. Tetapi sangkaan saya salah semenjak saya bertemu dengan dia. Hidup saya juga mulai bererti semenjak itu. Saya kurang mahir dalam bab-bab meluahkan perasaan. Jadi di sini saya akan sampaikan sebuah lagu yang saya tulis sendiri untuk si dia. Nana, terimalah.”

Panjang lebar ucapan Hyun tetapi Nana masih lagi terpinga-pinga. Nana fikir mereka datang ke tempat itu sekadar untuk berbual-bual dan membuang masa. Rupa-rupanya ini semua rancangan Hyun. Dia telah tekad untuk meluahkan rasa hatinya pada Nana malam itu juga.

When I close my eyes
I can see you turn your back and I’ll cry
The pain and the image of it
I send them off to the wind
  as my heart aches and my throat dries
My heart keeps getting smaller
  as I can only watch you from afar
For the days that I’m not by your side
Starting from now I’ll give them all to you
  until forever
I close my eyes
I can see the days that we’ll be together

            Tanpa Nana sedari, air matanya mengalir di pipinya yang gebu kemerah-merahan. Semakin lama semakin deras alirannya. Nana sendiri tidak pasti mengapa dia menangis. Perasaannya bercampur baur. Terkejut, terharu, gembira, sedih, semua ada. Bagaikan anak kecil, Nana menangis dan tidak peduli dengan sekelilingnya. Seumpama hanya wujud dirinya dan Hyun sahaja di situ.

            Selesai nyanyiannya, Hyun turun dari pentas dan berjalan ke arah Nana. Tangan kanan diseluk ke dalam poket jaket denimnya. Di hadapan Nana, Hyun melutut sebelah kaki dan menarik keluar tangannya bersama sebuah kotak kecil berwarna merah hati. Hyun lalu membuka kotak tersebut.
           
            “Nana, sudikah awak menemani saya sampai bila-bila?”

            Jantung Nana seolah-olah terhenti seketika.

***

            Hyun memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan pintu pagar rumah Nana. Dia tolak gear ke mod neutral. Untuk beberapa saat, kedua-dua Hyun dan Nana senyap tanpa sepatah kata.

            Hyun mengambil tangan kanan Nana lalu digenggam erat dengan kedua-dua belah tangannya. Nana pula membiarkan sahaja tangannya diusap-usap oleh Hyun. Cincin emas putih di jari manis Nana disentuh perlahan.
           
            “Tak perlulah kita rushing. Cukuplah awak dah berjanji dengan saya yang awak takkan tinggalkan saya,” ujar Hyun.

            Perlahan suara Nana membalas kata Hyun, “Saya gembira dengan awak. Saya tak pernah rasa begini selama saya hidup. Saya terlalu gembira. Sampaikan saya jadi takut. Saya mula jadi paranoid.”

            Hyun pusingkan badannya menghadap Nana. Genggamannya dieratkan lagi. “Nana, awak juga buat saya gembira. Awak mengisi kekosongan jiwa saya. Saya takkan tinggalkan awak. Saya akan sentiasa ada bersama awak, tidak kira ketika susah atau senang. Untuk apa awak takut?”

          Nana pejam matanya, menahan air matanya daripada mengalir. Nana balas kata-kata Hyun, “Macam mana awak boleh yakin sangat dengan pendirian awak? Awak tak terfikir ke yang satu hari nanti awak mungkin akan berubah fikiran?”

            Hyun tarik dagu Nana agar Nana memandangnya. “Awak pandang saya, Nana.”

            Perlahan-lahan Nana buka matanya. Sejurus itu, setitis air matanya mengalir keluar. Nana pandang mata Hyun dengan sayu.

          “Hyun, selama ni saya tak gembira. Luarannya mungkin saya tersenyum tetapi dalaman saya mati. Mungkin sebab Papa dan Mama banyak duit, jadi semua orang ingat saya bahagia. Hakikatnya saya langsung tak bahagia, awak tahu tak?” tutur Nana sambil air matanya mula menitis laju.

         Hyun sedikit terkejut. Dia tidak sedar yang Nana menyimpan perasaan sebenarnya daripada semua orang selama ini.

            “Semenjak kecil, hidup saya dikawal oleh Papa dan Mama. Itu tak boleh, ini tak boleh. Sepupu saya ajak jalan-jalan pun mereka tak benarkan. Apa yang mereka nak ialah saya belajar, belajar dan belajar. Apa yang saya perlu belajar pun mereka tentukan. Sedikit pun mereka tak minta pendapat saya sedangkan mereka sedang tentukan hidup saya. Hidup saya, Hyun! Adakah saya ni tak layak untuk hidup? Awak beritahu saya, Hyun. Untuk apa saya lahir ke dunia ni, kalau hidup saya sendiri dikawal oleh orang lain?”

            Nana menangis teresak-esak. Buat pertama kali dalam seumur hidupnya, dia melepaskan perasaannya yang dipendam selama ini. Tidak ada sesiapa pun yang pernah melihat Nana menangis seteruk itu walaupun Papa dan Mama. Selama sembilan belas tahun dia hidup, Nana pendam segalanya seorang diri. Tetapi malam itu Nana lepaskan segalanya. Malam itu air mata Nana menjadi bukti bahawa Hyun telah berjaya membuka pintu hati Nana.
           
            “Sebab tu saya jadi takut dan paranoid. Papa dan Mama ialah dua orang pertama yang saya beri kepercayaan saya dan mereka hancurkannya. Saya takut kalau awak pun akan lakukan yang sama. Saya tak kuat, Hyun,” tutur Nana perlahan lalu dia menudukkan kepalanya. Laju air mata Nana mengalir.

            Hyun menarik Nana ke arahnya. Dia peluk Nana seerat yang mungkin, dengan harapan kesedihan Nana akan terubat sedikit. Hyun mengusap-usap belakang Nana. Tanpa disedari, Hyun turut mengalirkan air matanya. Dia sebak dengan nasib yang menimpa Nana.

            “Nana, kenapa awak pendam semua ni sendiri? Awak patut beritahu pada Papa dan Mama awak,” pujuk Hyun. “Awak tak patut buat macam ni. Awak menyeksa diri awak sendiri, tahu tak?”

            “Saya tak nak sakitkan hati Papa dan Mama. Apa perasaan mereka kalau mereka dapat tahu yang saya tak suka dengan semua pilihan mereka? Saya tak nak kecewakan mereka. Saya tak nak jadi anak derhaka,” luah Nana di bahu Hyun.

            Hyun mengusap lembut belakang Nana sambil berkata, “Manusia ialah makhluk yang tidak sempurna, Nana. Manusia buat silap. Papa dan Mama awak pun begitu. Apa yang mereka lakukan, tak semuanya betul. Apa yang mereka suruh, tak semuanya awak perlu turuti. Awak juga manusia, Nana. Secara naturalnya, awak akan mahukan kebebasan. Apabila awak sekat kebebasan awak, awak sendiri yang akan terseksa.”

            Nana lepaskan pelukan Hyun. Dahi Nana berkerut. Tangisannya terhenti. Dia pandang mata Hyun dan berkata, “Bukan saya yang sekat kebebasan saya. Bukan saya, awak faham tak?”

            Hyun capai kedua-dua tangan Nana lalu berkata, “Bukan itu maksud saya..”

        Belum sempat Hyun menghabiskan bicaranya, Nana tarik tangannya lalu berkata, “Habis tu apa? Awak nak cakap yang Papa dan Mama buat benda semua tu sebab saya?”

         Hyun anggukkan kepalanya. “Memanglah mereka buat semua tu untuk awak. Tetapi adalah tidak salah untuk awak suarakan pendapat awak pada kedua ibu bapa awak. Sebagai contoh, kalau mereka ajak awak pergi makan Western food tapi sebenarnya awak tak nak, awak cakaplah yang awak lebih minat masakan Melayu.”

            Nana mengeluh. “Kalau boleh, saya nak Papa dan Mama bangga dengan saya. Saya takut kalau saya lawan cakap mereka, mereka akan marah dan kecewa dengan saya,” ujar Nana sambil mengesat air mata dengan belakang tangannya.

            Hyun capai beberapa helai tisu di dashboard lalu dihulurkan pada Nana. Dia berkata, “Menyuarakan pendapat dan melawan kata adalah dua perkara yang terlalu berbeza. Awak tak boleh salah faham antara dua benda ni.”

            Nana pusingkan kepalanya menghadap Hyun. Lama dia pandang Hyun tanpa sebarang bicara. Hyun mengangkat sebelah keningnya lalu tersengih. Dia lalu berkata, “Kenapa? Awak baru tersedar sesuatu ke? Atau awak masih lagi nak berdebat tentang hal ni?”
           
***

            “Nana dari mana tadi?”

         Jantung Nana kali ini benar-benar hampir tercabut kerana terlampau terkejut. Sewaktu dia masuk rumah tadi, seluruh ruang rumah gelap. Dia ingatkan Papa dan Mama tiada di rumah. Teguran Papa dari dalam gelap hampir membuatkan jantung Nana benar-benar berhenti.

       Nana urut dadanya sambil berkata, “Kenapa Papa bergelap? Bukalah lampu.” Tangan Nana mula menggagau mencari suis lampu.

        Apabila cahaya mula memenuhi ruang, kelihatan Papa dan Mama sedang duduk di sofa di ruang tamu. Muka mereka ketat.

            Papa tanya ni, kamu dari mana?”

       Suara Papa lebih tegas berbanding tadi. Perasaan takut mula menyelinap masuk ke dalam diri Nana. Terketar-ketar suaranya ketika menjawab soalan Papa.

          “Nana dari..dengan kawan tadi..pergi minum..hilangkan stres,” ujar Nana.

         Papa berdiri lalu berkata, “Nana tak menjawab soalan Papa. Nana dari mana tadi?”

           Nana memandang Mama tetapi Mama langsung tidak menoleh ke arahnya. Nana pandang Papa semula lalu berkata, “Nana dari kedai makan tadi.”

        Tidak sampai satu saat selepas Nana jawab soalan cepumas Papa, Mama pula bertanya, “Pergi dengan siapa?” tetapi Mama langsung tidak memandang wajah Nana.

        Tanpa Nana sedari, dia melepaskan keluhan. Nana jawab dengan malas, “Hyun.”

        Mendengar nama Hyun disebut, Mama memusingkan kepalanya menghadap Nana. Lantas Mama pun berdiri sama seperti Papa.

            “Bukankah Mama dah pesan supaya kamu jauhkan diri daripada budak tu? Kamu tak dengar ke?” ujar Mama. Suara Mama meninggi.

            “Tapi kenapa, Ma? Apa salah dia pada Papa dan Mama sampai Nana tak boleh berkawan dengan dia?” tanya Nana sedikit tidak berpuas hati.

          “Mama kata tak boleh, tak bolehlah! Kamu jangan cuba nak melawan,” jawab Mama tegas.

            “Nana bukan melawan, Mama. Nana cuma bertanya. Takkan bertanya pun salah?” balas Nana pula.

            Papa dan Mama membuat riak terkejut. Mereka seolah-olah tidak percaya bahawa Nana di hadapan mereka ialah anak mereka. Papa pun berkata, “Sebelum ni, apa yang Papa dan Mama cakap, kamu ‘ya’kan sahaja. Sekarang ni kamu dah pandai menjawab pula. Hyun yang ajar kamu?” Papa nampaknya sedang menahan rasa marah dan kecewa yang mula bersarang di hatinya.

            Mendengar Hyun dipersalahkan, Nana menjadi semakin berani menjawab, “Kenapa perlu Papa kaitkan Hyun dalam hal ni? Hyun tak ada salah apa-apa pun.”

          Mama mendekati Nana lalu dipegang kedua belah bahu Nana dan berkata, “Nana sedar tak apa yang Nana sedang buat ni? Nana sedar tak yang Nana sedang bercakap dengan Papa dan Mama?”

          Nana pandang tepat mata Mama lalu berkata, “Ya. Mama.”

        Perlahan-lahan genggaman Mama dari bahu Nana terlepas. Papa mendekati Mama lalu memeluk dan mengusap-usap bahu Mama. Mama mula menangis.
           
     “Kenapa Mama menangis? Sepatutnya Nana yang menangis sekarang ni. Selama ni Nana pendam, simpan dan tahan semuanya. Jadi kalau ada yang patut menangis, Nanalah orangnya,” ucap Nana. Semakin berani Nana menjawab Papa dan Mama.

     Air mata Mama semakin laju menitis mendengar kata-kata anak perempuannya. Papa pula sedari tadi hanya melihat dan mendengar sambil mengusap-usap bahu Mama. Nana tidak betah berada di dalam situasi itu lalu dia pun mula mengambil langkah untuk naik ke biliknya di tingkat atas.

            Namun, langkah Nana terhenti apabila Papa tiba-tiba bersuara, “Apa yang dia dah buat pada Nana?” Dia berpusing memandang Papa dan Mamanya. Dengan lantang Nana menjawab, “Dia beri Nana sesuatu yang Papa dan Mama tak pernah berikan pada Nana. Dia beri Nana sesuatu yang Nana tak pernah miliki sepanjang hidup Nana. Papa dan Mama nak tahu apa?”

            Papa dan Mama hanya diam. Sayu pandangan mereka terhadap satu-satunya anak mereka itu. Pelbagai jenis perasaan yang sedang mereka rasai; sedih, kecewa, marah, menyesal. Semuanya bergabung menjadi satu.

            Nana dekati semula Papa dan Mama. Dia pun berkata, “Hyun berikan Nana kebahagiaan, kegembiraan dan kelapangan.”

            Mama yang memang sudah menangis dari tadi semakin lebat air matanya. Papa pula sedang mencuba sedaya upaya menahan air matanya dari tumpah ke pipi dan Nana, setitik air matanya mula mengalir ke pipi. Dia tekup mukanya dengan kedua belah tangan.

Lama mereka dalam keadaan seperti itu sehinggalah Nana akhirnya mengangkat muka dan berkata, “Nana sayang sangat pada Papa dan Mama. Nana terlalu sayang pada Papa dan Mama. Nana nak jadi anak yang sempurna untuk Papa dan Mama.” Lebat sungguh air mata Nana mengalir ke pipinya.

“Selagi boleh, Nana tak nak sakitkan hati Papa dan Mama. Selagi boleh, Nana akan cuba terima keputusan Papa dan Mama walaupun Nana tak suka atau ada cadangan yang lebih baik. Nana tak nak kecewakan Papa dan Mama,” tutur Nana di dalam tangisnya.

“Terlalu kerap hati Nana terluka dengan Papa dan Mama. Tidak kiralah dari segi perkataan atau perlakuan, emosi atau fizikal. Setiap kali Nana sedih, Nana tenangkan diri Nana dengan bercakap dengan teddy bear atau bercakap dengan pantulan Nana di cermin. Tapi sedih tu tak tak pernah hilang dan sakit tu sentiasa ada,” sambungnya lagi.

“Nana tak pernah tahu apa itu gembira. Papa dan Mama jarang ada di rumah. Papa dan Mama tak benarkan Nana keluar rumah walaupun dengan saudara sendiri. Hidup Nana hanya di rumah dan di sekolah. Nana jadi bosan dengan hidup. Nana mula putus asa sampailah Nana jumpa Hyun. Dia yang ajarkan Nana erti kebahagiaan,” ucap Nana sambil mengelap air matanya dengan tangan.

Papa terduduk di kerusi manakala Mama pula sudah terjelopok ke lantai. Nana sedang menangis sambil berdiri.

“Kenapa Nana? Kenapa Nana buat macam tu?” tanya Papa sambil memandang ke lantai.

“Mama tak tahu yang anak Mama memendam perasaan. Mama ingat Nana memang setuju dengan Papa dan Mama. Tapi rupa-rupanya..”

Tidak sempat Mama menghabiskan bicaranya, air mata Mama tumpah lagi. Papa akhirnya mengaku kalah dengan air mata yang dari tadi sudah berlumba-lumba untuk keluar dari soket matanya. Melihat kedua ibu bapanya menangis, Nana menjadi bertambah sebak.

Papa mengangkat wajahnya lalu memandang Nana dan bertanya, “Kenapa baru sekarang Nana beritahu kami?”

           Sambil memandang kosong pada lantai di bawah kakinya, Nana menjawab, “Hyun suruh Nana beritahu pada Papa dan Mama. Hyun kata Nana boleh gembira kalau ikut cakap dia.”

      Setelah sekian lama, akhirnya Mama kembali bersuara, “Hyun?” Mama memandang ke arah Papa dan Nana pula hanya mengangguk tanpa memandang pada Papa atau Mama.

            Papa bangun dari kerusi lalu berjalan ke arah Nana. Dia pegang kedua-dua belah bahu Nana dengan kuat sekali lalu berkata dengan tegas, “Kenapa kamu masih sebut-sebut lagi nama Hyun? Kamu masih tak sedar ke?”

            Nana mula panas hati kerana Papa masih lagi tidak boleh menerima Hyun. Nana tolak tangan Papa dari bahunya dan berkata, “Hyun bukan orang jahat, Pa. Kerana dialah, Papa dan Mama dapat tahu kebenaran. Kerana dialah, sekarang ni Nana mula kenal erti gembira. Kenapa Papa masih benci sangat dengan dia ni?”

         Papa memegang dahinya dan mengurut sedikit. Mama berkata sambil menangis, “Mama minta maaf, sayang.”

            Dahi Nana mula berkerut. Dia pandang Papa dan Mama silih berganti lalu berkata, “Nana tak faham. Kenapa Mama perlu menangis dan minta maaf?”

            Papa pegang kembali kedua-dua belah bahu Nana erat. Nana mengaduh kesakitan. Dia cuba melonggarkan genggaman tangan Papa di bahunya tetapi tidak berjaya. Lantas dia pun berkata, “Sakitlah, Pa.”

     Papa tidak mempedulikan kesakitan Nana. Malah dia ketatkan lagi genggamannya lalu berkata, “Hyun tak wujud. Kamu sedar tak?”



***

TAMAT

Comments